Oleh Lat Zaharah Abd Mutalib
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Sudah menjadi kebiasaan pada hujung minggu, ada saja kenderaan dengan pelekat bertulis 'Kembara Mencari Harta Karun' atau 'Treasure Hunt' dilihat lalu lalang di jalan raya, deretan kedai atau tempat tumpuan ramai di negeri-negeri di seluruh Malaysia.
Banyak pihak yang gemar menganjurkan acara riadah mencabar minda ini untuk orang ramai, lelaki dan wanita.
Tetapi sesuatu yang menarik berlaku pada 5 Sept lalu. Acara kembara wanita 'All-Ladies Treasure Hunt' (ALTH) 2015 diadakan sekali lagi, untuk kali ketiga sejak 2011.
Kali ini penganjur, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita), membawa peserta yang semuanya wanita dalam 42 kenderaan ke Lumut, Perak. Beberapa kenderaan lagi membawa anggota jawatankuasa Benita menuju ke destinasi sama.
"Hari ini giliran staf wanita semua 'rehat'. Kami nak enjoy ramai-ramai ke Perak, biar staf lelaki yang bekerja..." seorang peserta berkongsi perbualannya dengan rakan sekerja lelaki di Bernama pada pagi Sabtu itu sebelum acara pelepasan peserta di Wisma Bernama, Kuala Lumpur.
(Bekerja pada hujung minggu di Jabatan Pengarang Bernama memang tidak mengira lelaki dan wanita, mengikut giliran syif tugasan).
Teman-temannya yang lain ketawa, kerana mereka telah awal-awal lagi sepakat memohon cuti pada 5 dan 6 Sept untuk menyertai acara ALTH 2015 yang mengumpulkan hampir 200 orang wanita, yang akan memandu, bertanding, bercuti, bersantai dan bermalam di sebuah hotel di Lumut Perak.
KEMBARA YANG UNIK
Bertemakan 'Moh Kite ke Perak Yong', program unik yang mendapat kerjasama penuh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ini telah diiktiraf dan mendapat sokongan amat menggalakkan daripada pelbagai pihak terutama para penaja.
Istimewanya juga, acara yang menguji kepintaran minda ini tidak hanya disertai kalangan petugas wanita Bernama, tetapi juga anggota persatuan wanita seperti Puspanita agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Lembaga Kebajikan Islam Malaysia, petugas wanita unit-unit komunikasi korporat sektor awam dan swasta, suri rumah, penggemar aktiviti lasak dan sebagainya.
Jalinan hubungan penyertaan semua wanita inilah yang menjadikan acara ini lebih meriah, lebih menarik perhatian dan lebih menggembirakan.
"Untuk kali ketiga, Benita menganjurkan konsep kembara unik ini, membuka penyertaan kepada kaum wanita sahaja, untuk membawa kelainan kepada aktiviti riadah berpasukan popular ini.
"Benita sentiasa aktif mengadakan aktiviti melibatkan kerjasama petugas wanita Bernama dengan pihak luar dalam usaha mengeratkan hubungan antara anggota persatuan, Puspanita KKMM, wartawan dan orang ramai," kata Pengerusi Benita Rohana Mustaffa.
BERTUDUNG KUNING
Sebahagian peserta sebenarnya telah mula berkumpul dan berkenalan pada petang hari taklimat acara ini pada 3 Sept. Dari situ mereka telah mengetahui mengenai peraturan acara kembara ini, pelbagai acara sampingan menarik yang menanti mereka dan paling penting mengenali rakan dan saingan sihat mereka dalam ALTH 2015.
Kaum wanita, kalau berpakat akan menghasilkan sesuatu yang menarik.
Pada pagi 5 Sept, perkarangan Wisma Bernama dipenuhi dengan wanita memakai t-shirt hitam bertulis 'I Love Perak' dan bertudung atau skaf sedondon warna kuning. Suasana kelihatan amat ceria sekali.
Senaman 'zumba' menjadi pembuka acara selepas sedikit taklimat dan ucapan, sebagai menyahut kempen Fit Malaysia atau lebih tepat lagi simbolik kepada aktiviti 'Wanita Sihat'.
Gelak ketawa peserta turut kedengaran sambil bersenam, mata masing-masing tertumpu kepada pergerakan jurulatih profesional, yang memimpin senaman zumba selama 15 minit itu.
PELEPASAN PESERTA
"Syabas kepada semua peserta All-Ladies Treasure Hunt kerana anda berjaya membuktikan anda boleh membentuk kumpulan semua wanita untuk mengembara dan bersaing secara sihat dalam acara kembara ini," kata Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh, dalam pembuka kata buku program acara kembara ini.
Zulkefli serta Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Wahab yang selama ini menyokong penuh aktiviti yang dianjurkan oleh Benita, turut hadir pada Sabtu itu.
Acara pelepasan peserta dilakukan oleh Pengerusi Puspanita cawangan KKMM Datin Abidah Sani.
Dua wakil penaja utama turut hadir memberikan sokongan iaitu Pemangku Ketua Perbankan Runcit Ambank Anthony Chin dan Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Habib Jewels Yasheedah Yashaiya.
KL-LUMUT YANG MEWAH DENGAN HADIAH
Bermula dari Wisma Bernama pada 8 pagi, perjalanan peserta berakhir di Lumut, bandar yang popular dengan makanan laut dan pintu masuk ke Pulau Pangkor, pada kira-kira 3.30 petang.
Mereka bersaing untuk merebut pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai berjumlah RM12,000, barang kemas Habib Jewels bernilai RM10,000, baucar wang bernilai lebih RM3,000, pelbagai barang elektrik, hamper, barangan kegunaan wanita, baucar percutian dan sebagainya.
Sepanjang perjalanan yang meliputi jarak lebih 240km, para peserta perlu menjelajah pelbagai tempat bandar dan luar bandar mengikut tulip (panduan arah jalan) yang diberikan bagi menjawab 40 soalan selain mengumpulkan lima 'harta' (berupa makanan dan gambar mereka berlatar belakangkan Menara Condong di Teluk Intan) untuk menang.
BATIK SANTAI
Sementara menunggu dengan penuh debaran akan keputusan acara kembara itu di Marina Island Pangkor Resort & Hotel, Lumut, para peserta diraikan pada jamuan malam meriah di tepi pantai.
'Batik Santai' menjadi tema pakaian malam itu. Cukup 'wow' suasana majlis kerana kebanyakan peserta mengenakan pakaiAn batik berwarna-warni.
Ada 'Ratu' yang mahu dipilih dari kalangan peserta yang berpakaian menepati tema dan cantik pada malam itu. Tetapi pemilihan yang memerlukan mereka membuat catwalk di atas pentas hanya diadakan selepas para tetamu lelaki termasuk Ibrahim Seddiqi, Pengarah Tourism Malaysia Perak dan Mokhtar Husain, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama, beredar daripada majlis selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang acara ALTH 2015.
Ini bermakna majlis makan malam itu dilanjutkan untuk semua wanita sahaja melepasi tengah malam dengan acara pemilihan 'Ratu Batik', cabutan bertuah pelbagai hadiah dan permainan kuiz meja diadakan.
Sepanjang majlis makan malam itu, para hadirin dihiburkan dengan persembahan tarian pelbagai kaum dan nyanyian oleh anggota Badan Kesenian Tentera Laut Diraja Malaysia, yang dibawa khas oleh Tourism Malaysia Perak untuk meraikan peserta.
Sesuatu yang mungkin tidak pernah dibuat oleh penganjur kembara lain juga ialah semua peserta kumpulan kembara ALTH 2015 pulang membawa hadiah kerana pelbagai hadiah sagu hati diberikan kepada peserta yang menamatkan kembara dengan menyerahkan kertas jawapan dan 'harta' mereka di Lumut.
"Terima kasih Benita atas penganjuran, hospitaliti mesra dan hadiah-hadiah yang mewah. Job well done. Terima kasih kerana memberi peluang kami merasai pengalaman yang menarik ini, kami enjoy setiap minit yang dilalui, Tahniah semua." Ini antara ucapan tahniah yang diterima Benita daripada peserta selepas berakhirnya ALTH 2015 pada 6 Sept.
SOKONGAN PADU
Kumpulan La Senora muncul juara Kategori Tertutup (bagi anggota Benita dan Puspanita KKMM). Mereka terdiri daripada petugas Bernama Radio24 - Juliana Shahida Baseri, Wan Syahrina Wan Ab.Rahman, Wan Nadia Khairani Wan Chik dan Nur Syazwani Bakhtiar.
Pasukan Cool Sokmo menjadi naib juara serta Fantastic 4 di tempat ketiga.
Bagi kategori terbuka (orang ramai) Juara dimenangi kumpulan 'Budak Baru Belajar' terdiri daripada Faizah Ahmad Kamari, Rhyrita Sukiman, Norashikin Ab.Aziz dan Zizi Irlanty Aznan diikuti pasukan yang menggelar diri mereka Vamos Chicas sebagai naib juara dan Poka Hunters tempat ketiga.
Juara membawa pulang (sama bagi kedua-dua kategori) hadiah wang tunai RM3,000, barang kemas Habib Jewels bernilai RM5,000 dan hadiah iringan, naib juara RM2,000 dan bagi pemenang tempat ketiga RM1,000 berserta pelbagai hadiah iringan.
Kemeriahan acara dan kemewahan hadiah ini adalah hasil kerjasama dan sumbangan amat menggalakkan yang diterima daripada para penaja.
Kumpulan Ambank, sekali lagi menjadi antara penaja utama acara ALTH untuk kali ketiga ini dengan tajaan tunai RM10,000.
"Ada banyak aktiviti untuk golongan wanita seperti memasak dan menjahit, namun aktiviti lasak yang menghimpunkan ramai wanita jarang sekali diadakan.
Usaha ini amat baik bagi menunjukkan keupayaan dan kemampuan mereka," kata Ketua Komunikasi dan Pemasaran Kumpulan Ambank Syed Anuar Syed Ali pada majlis penyampaian penajaan yang diadakan awal sebelum 5 Sept.
Benita juga berterima kasih kepada penaja utama lain - kerajaan negeri Perak, Mah Sing Group Berhad, Affin Hwang Asset Management Berhad, IJM Corporation, Habib Jewels Sdn Bhd dan Sime Darby Property Berhad.
Penaja lain yang memberi sumbangan tunai dan barangan termasuk Menteri Kewangan Kedua Datuk Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Pertanian, dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman (sebagai menghargai peserta ALTH 2015 ke Perak), Maybank Islamic Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Holiday Villa Hotels & Resorts, Stellar Plant Rental & Landscape Sdn Bhd, Boustead Holdings Berhad, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd, Suria KLCC Sdn Bhd dan Takaful Ikhlas Berhad.
Lain-lain, Felda Global Ventures Holdings Berhad, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Copthorne Hotel Cameron Highlands, LEGOLAND, Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad, Hotel Perdana Kota Baharu, BIMB Holdings Berhad, Concorde Hotel Kuala Lumpur, Ajinomoto, Harbour View Kuching Sarawak, MK Land, Ges Venture (M) Sdn Bhd, The Body Shop, Lukisan Cahaya, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Malaysian Resources Corporation Berhad, One One Eight Housing Development Sdn Bhd, Jurutera Perunding Prestasi Rekabina, Marina Island Pangkor Resort & Hotel dan Sunway Lost World Water Park Sdn Bhd.
SUMBANGAN KEBAJIKAN
Istimewanya juga ALTH 2015 ini ialah semua 'harta' barangan yang dikumpulkan para peserta iatu beras, minyak masak, biskut dan kacang telah diserahkan kepada dua rumah kebajikan di Perak.
Penghuni Rumah Kebajikan bagi Kanak-Kanak Yatim di Manjung dan Kompleks Pendidikan Manabi'ul Ulum Lekir Sitiawan menerima kejutan kunjungan anggota jawatankuasa Benita dengan barang-barang itu ketika mereka singgah dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
Kebanyakan peserta berazam akan kembali dan bertemu lagi untuk ALTH yang akan datang. Mungkinkah pada 2017? Insya-Allah dengan kerjasama semua dan sambutan hangat kaum wanita terhadap ALTH, Benita pasti akan meneruskan penganjuran program ini.
-- BERNAMA
link : BERNAMA
No comments:
Post a Comment