Pengerusi Puspanita cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datin Abidah Sani (empat, kiri) mengibarkan Jalur Gemilang sebagai gimik pelepasan peserta dalam cabaran 'All Ladies Treasure Hunt 2015' KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) - Sejumlah 160 wanita menaiki 42 kenderaan menyertai acara 'All Ladies Treasure Hunt' ke Perak, yang menawarkan hadiah menarik termasuk wang tunai RM12,000 dan barang kemas bernilai RM10,000 dari Habib Jewels.
Acara itu merupakan yang ketiga dianjurkan oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) dan dibahagikan kepada kategori Terbuka (untuk orang awam) dan Tertutup (anggota Benita dan Puspanita KKMM).
Kembara itu dilepaskan oleh Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datin Abidah Sani di Wisma Bernama di sini Sabtu.
Turut hadir Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab, Pengerusi Benita Rohana Mustaffa, Pemangku Ketua Perbankan Runcit Ambank Anthony Chin dan Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Habib Jewel Yasheedah Yashaiya.
Peserta pencarian harta karun itu juga akan membuat sumbangan kebajikan yang akan diserahkan kepada anak-anak yatim.
Acara yang akan berakhir dengan sesi penyampaian hadiah esok akan diserikan dengan majlis makan malam bagi meraikan para peserta di Lumut, Perak malam ini bertemakan 'Batik' bagi mempromosikan penggunaan tekstil itu dalam kalangan peserta.
Sementara itu, Abidah dalam ucapannya berkata program itu mampu menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan dan seiring dengan tema sambutan Hari Kebangsaan 2015 iaitu 'Sehati Sejiwa', ia dapat mengeratkan lagi silaturahim dan sikap bekerjasama.
Zulkefli pula berkata pencarian harta karun ini adalah acara kembara yang benar-benar menguji kebolehan dan kecekapan peserta wanita tanpa bantuan kaum lelaki dalam bekerjasama, mematuhi masa dan memandu dengan baik sepanjang perjalanan.
"Syabas kepada semua peserta All Ladies Treasure Hunt kerana anda berjaya membuktikan anda boleh membentuk kumpulan semua wanita untuk mengembara dan bersaing secara sihat dalam acara kembara ini," katanya.
Chin berkata, ini merupakan kali ketiga mereka muncul sebagai penaja program itu.
"Ini merupakan sesuatu yang amat kita galakkan... Kami menyokong media, jadi saya fikir Bernama sebagai sebuah agensi berita nasional, semestinya kami memberikan sokongan sebenar terhadap program ini," katanya.
-- BERNAMA
link : BERNAMA
No comments:
Post a Comment