Wednesday, June 9, 2010

Demo Masakan Nestle

Oleh: Rubaina (InfoLib)
Foto: Norhayati Jantan

Pada 27 Mei 2010, seramai 39 ahli BENITA telah menyertai lawatan ke Nestle House di Mutiara Damansara. Sekitar jam 11.15 pagi, rombongan bertolak menaiki bas dan sebuah van BERNAMA dan tiba di sana kira- kira jam 11.45 pagi.

Rombongan dibawa ke Demo Kitchen yang juga dikenali dengan nama ‘MAGGI masak-masak studio’ untuk menyaksikan demo masakan oleh Chef Nor Asiah Tajul Urus, atau lebih mesra dipanggil Chef Nor.
Sebelum itu, kami diberi penerangan ringkas mengenai Nestle dan kami dimaklumkan bahawa Demo Kitchen tersebut baru saja beroperasi tidak sampai setahun bermula 26 Oktober 2009 yang lepas. Kami juga sempat mendaftar sebagai ahli ‘Nestle Family Today!’.

Pakar pemakanan Nestle, Sdri. Lee Bee Swan turut sudi berkongsi informasi dan tips mengenai ‘Asas Pemakanan dan Gaya Hidup Sihat’. Penerangan mengenai piramid makanan amat berinformasi. Beliau menjelaskan, amat penting bagi setiap individu untuk mengamalkan pemakanan yang seimbang demi menjamin kesihatan tubuh badan yang berpanjangan.



Piramid makanan yang seimbang haruslah terdiri daripada makanan yang membekalkan sumber tenaga yang cukup bagi setiap individu. Lazimnya, tenaga yang diperoleh daripada empat lapisan asas piramid makanan perlulah terdiri daripada 50 peratus karbohidrat, 3o peratus lemak dan 15 hingga 20 peratus protein.

Saiz bagi satu hidangan yang disyorkan bagi lapisan pertama piramid makanan yang membekalkan karbohidrat seperti nasi, bijirin dan roti adalah bersamaan satu cawan yang berisipadu 200ml. Hidangan yang perlu diambil adalah sebanyak 4 – 8 kali sehari bagi setiap individu.

Bagi lapisan kedua iaitu kumpulan sayur-sayuran dan buah-buahan, saiz bagi satu hidangan sama seperti kumpulan karbohidrat. Terdapat perbezaan iaiti saiz satu hidangan sayur yang dimasak hanya separuh daripada saiz hidangan berbanding sayur yang tidak dimasak.

Manakala lapisan ketiga seperti daging, ikan, telur dan sebagainya, saiz bagi satu hidangan ialah bersamaan dengan sekotak mancis. Manakala bagi susu dan yoghurt, saiz bagi satu hidangan adalah kira-kira 150 – 200 ml.

Lapisan keempat iaitu makanan berunsurkan lemak, pengambilannya tidak disekat tetapi haruslah dalam kuantiti yang terkawal.

Jelas Sdri. Lee lagi, salah satu amalan gaya pemakanan yang sihat ialah jika menggunakan produk masakan segera seperti kiub, sos atau perasa dalam masakan, tidak perlu tambah garam atau bahan perasa yang lain. Tambahnya lagi, hampir semua sumber makanan yang kita makan secara semula jadi mengandungi monosodium glutamate (MSG).

Setelah itu, kami berpeluang melihat demontrasi masakan oleh Chef Nor yang berpengalaman selama 30 tahun bersama Nestle. Kami telah ditunjukkan dengan cara memasak empat resepi menggunakan produk Maggi keluaran Nestle iaitu Ayam Paprik, Nasi Goreng Kampung, Loh Hon Chai (sayur campur) dan Salad Limau Barli.

Beliau juga banyak berkongsi panduan masakan dan pengalaman sepanjang kerjaya beliau selain berkongsi resepi membuat Nasi Ayam Hainan. Jelas Chef Nor, resepi Nasi Ayam Hainan itu mula diubahsuai mengikut kreativiti beliau sejak 25 tahun yang lepas. Antara yang menarik dari beliau ialah menyimpan bawang di dalam peti ais sebelum mengupasnya bagi mengelakkan mata menjadi pedih.

Kemuncaknya, sesi soal jawab dan soalan kuiz mengenai produk Maggi diadakan. Setelah itu rombongan kami dijemput menjamu selera dengan hidangan kesemua empat resepi yang telah ditunjuk ajar sebelumnya.

Kami turut berpeluang membeli-belah produk Nestle sebelum bertolak pulang pada jam 3 petang.

Ternyata lawatan ke Nestle House memberi banyak informasi dan tips kesihatan dan makanan yang amat berguna kepada kami.

No comments:

Post a Comment