Wednesday, February 17, 2010

Ahli Benita Didedahkan Dengan Isu Keganasan Terhadap Wanita









Laporan & Gambar oleh Rubaina Ayuni Hamzah

Seramai lapan orang petugas Bernama, termasuk ahli-ahli Benita, telah menyertai Sambutan Hari Antarabangsa Bagi Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Sunway Pyramid Convention Centre pada 25 November 2009.

Mereka ialah Jamaliah Moonier (Bah. Harta), Suryana Nordin, Faridah Fakir Mohamed (Jab. Kewangan dan Akaun), Ruzanah Jaman (Bah. Perjawatan), dan Jenah Baba, Siti Nur Azahani Ab Razak, Sivajothi A/P Ganason dan Rubaina Ayuni Hamzah (InfoLib).

Program anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut disertai oleh para wakil sektor awam dan swasta.


Ketua Pengarah JPW, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur, dalam ucapan perasmiannya turut menekankan betapa pentingnya kaum wanita mengetahui cara dan tindakan yang betul untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa kepada keganasan.

Sambutan kali ini yang bertemakan ‘Commit, Act, Demand’ diselangi dengan beberapa sesi ceramah khusus bertujuan memberi maklumat kepada para peserta berkenaan isu keganasan terhadap wanita.

Ceramah pertama bertajuk “Menangani Keganasan Terhadap Wanita: Tanggungjawab Bersama” telah disampaikan oleh Pengurus Program All Women’s Action Society (AWAM), Betty Yeoh.

Manakala Supt. Ong Chin Lan dari Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D11,Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, telah menyampaikan ceramah yang bertajuk “Prevention of Violence Against Women”.

Dalam sesi ceramah ini, pelbagai informasi telah dikongsi oleh para penceramah kepada para peserta. Antaranya Supt Ong telah memperjelaskan lagi takrif keganasan yang berlaku terhadap wanita, disamping menerangkan jenis-jenis keganasan yang seringkali berlaku terhadap wanita.

Supt Ong berkata, kebanyakan kes keganasan terhadap wanita menunjukkan bahawa penyerang adalah di kalangan orang yang rapat dengan mangsa atau mengenali mangsa.

Menurutnya, separuh daripada kes kematian wanita akibat dibunuh adalah disebabkan oleh pasangan atau suami mereka sendiri. Selain daripada itu juga, beliau turut menerangkan kesan-kesan emosi dan fizikal terhadap individu yang menjadi mangsa keganasan.

Selain daripada itu juga, demontrasi teknik yang betul ketika menghadapi ancaman keganasan seperti jenayah ragut dan rogol turut dipertontonkan kepada peserta oleh Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, pengasas teknik seni bela diri yang dipanggil ‘Kickstart’.

Terdapat juga pameran mengenai kesedaran menangani keganasan daripada pelbagai agensi berkaitan seperti PDRM, Avon Cosmetics dan sebagainya.

Ahli-ahli Benita yang menyertai sambutan kali ini mendapati ia memberi maklumat yang cukup berguna kepada peserta yang hadir.

Mereka berharap lebih banyak pendedahan seumpama ini diberikan kepada masyarakat demi menangani dan mengelakkan kejadian jenayah dan keganasan dari terus meningkat.

No comments:

Post a Comment