Thursday, July 30, 2009

Foto-Foto Lawatan ke Vietnam










Sepanjang Jalan Kenangan Di Vietnam












Laporan oleh Rohana Mustaffa, Setiausaha

(Gambar oleh Norhayati Jantan, AJK Sosial)

“Rombongan Che Kiah” Benita melangkah ke luar negara sekali lagi selepas ke China tiga tahun lepas, Kali ini 15 orang berpakat melawat Vietnam.

Daripada 15 orang itu, hanya seorang kaum Adam, suami Nor Liza – Azman Mahmud, dan dialah yang menjadi bodyguard kami sepanjang empat hari di sana.

Anggota rombongan yang lain ialah saya, Norhayati, Nin Zairani, Nasriah, Zairina, Sartambal, Hamidah, Hazlinda dan beberapa rakan luar seperti Puan Zaini, Fatishah, Nasyrah, Rosnah dan Azian Dari Kuala Lumpur lagi mereka ini sudah kaya dengan duit Dong (RM1 =4,500 Dong atau AS$1=17,000 Dong).

Kami berlepas pada 1 Mei 2009 pukul 7.25 pagi bagi perjalanan yang tidak sampai 1 setengah jam, hinggakan Nor Liza tak sempat hendak order nasi lemak dalam pesawat, kerana isyarat hendak mendarat sudah diumum.

Masa hendak naik pesawat pun sudah ada yang buat lawak, ragu-ragu hendak naik tangga kapal terbang kerana kami hendak ke Ho Chi Minh City tetapi papan tanda ke lorong pesawat tertulis Saigon…eh betul ke ni??

Saat itu juga ada perasaan cuak dalam kalangan kami kerana ancaman H1N1 baru saja melanda dunia. Dua tiga orang daripada kami sudah bersedia membawa topeng mulut.

Sampai saja di lapangan terbang Tan Son Nhat, pemandu pelancong kami Mr Chin, sudah menunggu. Kami terus dibawa dengan bas ke sebuah muzium yang dinamakan War Remnants Museum atau War Crimes Museum.

Di situ segala jenis senjata dan kenderaan perang ditayangkan kepada pengunjung dan siapa yang lemah semangat, tidak akan sanggup melihat pelbagai gambar dan imej yang menunjukkan kesan keganasan perang, semasa perang Vietnam dan zaman Viet Cong,.terhadap kanak-kanak, kaum wanita dan lelaki, dalam keadaan yang amat mengerikan dan menyedihkan.

Untuk merasakan keadaan di dalam penjara dan penyeksaan yang dilalui tahanan perang dan orang awam, pengunjung boleh memasuki ruang penjara yang sempit dan menggerunkan yang dipenuhi dengan gambar dan keterangan bagaimana tahanan ini diseksa, tidak kira lelaki atau wanita.

Kami tidak boleh ke hotel lagi kerana waktu masih pagi maka destinasi kami seterusnya ialah ke bangunan Pejabat Pos Besar, sebuah struktur binaan lama yang indah dan unik, direka bentuk oleh arkitek yang sama membina Menara Eiffel. Begitu juga bangunan di kawasan sekitarnya seperti gereja Red Cathedral yang berusia beratus-ratus tahun dan Committee Hallnya.

Makan tengah hari kami ialah di sebuah restoran comel, Halal Saigon, milik rakyat Malaysia Dr Shimi. Di situ kami berkenalan dengan beliau dan pekerjanya seorang Islam bernama Aziz yang fasih dengan loghat Penang kerana sudah bertahun-tahun bekerja di Malaysia. Ada sebuah masjid bertentangan dengan restoran itu, memudahkan kami untuk solat Zohor.

Menurut Aziz, dia tinggal di sebuah kampung kecil Islam di pinggir bandar dan daripada kira-kira 8 juta penduduk Ho Chin Minh City atau Saigon, 6,000 ialah Islam.

Dua juta daripada penduduk di sini, menunggang motosikal dan banyak lorong khas yang luas disediakan untuk mereka. Menariknya ada motosikal dinaiki sehingga lima orang, dan mereka memakai topeng mulut pelbagai bentuk dan warna.

Setiap kali melintas jalan, kami mengikut pesanan Mr Chin “Don’t stop and don’t run” (jangan berhenti dan jangan lari di tengah jalan) kalau mahu mengelak daripada dilanggar motosikal) kerana mereka akan menghormati pejalan kaki jika kita berjalan di celah-celah laluan mereka.

Menurut Mr Chin jumlah kemalangan amat kecil di sini walaupun jalan raya bagaikan dibanjiri lautan motosikal – tidak menghairankan, kerana mereka memandu berhemah sekali, dan had laju kenderaan hanya 45km sejam.

Walaupun banyak motosikal, tetapi tidak ada pula yang merempit bila kami keluar berjalan pada hujung minggu. Kebanyakan muda mudi yang menaiki motosikal ini kami jumpa berdating dan berlibur di tepi pantai dan mereka memandu dengan kelajuan biasa.

Setibanya di hotel, selepas mandi dan berkemas, telefon bilik berdering, apa lagi tak sahlah kalau Che Kiah duduk melepak saja di bilik. Kami beramai-ramai ke pasar Ben Than yang tidak jauh dari hotel .

Di situlah duit Dong atau Dollar mula bertukar tangan kerana segala macam barang kraf Vietnam, tekstil, baju, seluar, dompet, kasut dan lain-lain dijual pada harga tawar-menawar.

Malamnya kami makan di dalam Cruise Boat yang menyusuri sungai dan memberi peluang kami menikmati udara malam Saigon.

Hari kedua selepas sarapan, kami menuju ke Barat Laut (75 km) dari bandaraya Saigon untuk melawat terowong popular – Cu Chi Tunnel – rangkaian terowong sepanjang lebih 200km dan sedalam 3 hingga 8 meter yang digali semasa zaman perang mereka.

Kawasan itu lengkap dengan suasana kampung di waktu perang – bunyi bom dan tembakan senjata, patung-patung askar berehat di bawah kanvas dan pokok, bengkel senjata, pelbagai jenis jerangkap samar, kesan kawasan yang dijatuhkan bom, busut tempat mereka yang bersembunyi di dalam terowong menyedut udara dan sebagainya.

Semasa merangkak di dalam terowong yang ruangnya cukup untuk meluluskan badan sahaja, timbul rasa keinsafan, bagaimana seksanya kehidupan di zaman itu, merangkak di dalam gelap tanpa mengetahui bila dapat keluar dari situ, bila dapat menyedut udara dan jauh sekali bila boleh menjamah makanan.

Kata orang, dalam susah kita lebih kreatif berfikir, begitulah keadaan duduk letaknya terowong ini, yang lengkap dengan ruang untuk tidur, tempat memasak secara bersembunyi dan mengelakkan asapnya daripada dikesan musuh serta ada tempat untuk menyimpan senjata.

Selepas penat mengembara, kami mencuci tangan dengan air yang disalurkan pada buluh dan menjamah ubi rebus yang dihidangkan dengan kacang tumbuk oleh kaum wanita di situ.

Petangnya kami ke bandar Vung Tau 125km di Barat Daya Saigon. Menurut Mr Chin, Vung Tau ialah bandar syarikat minyak negara Vietnam seperti Kertih dengan Petronas di Malaysia. Disebabkan itu boleh dilihat kemewahan hiasan bandar ini.

Sewaktu makan malam, kami dihidangkan makanan laut dan sayur-sayuran. Kami terlepas pandang sejenis makanan yang pada mulanya kami ingatkan tisu atau kertas nipis pelapik makanan, tetapi sebenarnya ia keropok beras pembalut sayur dan campuran lain untuk dimakan macam popia di Malaysia.

Penjual kraf Vietnam ini ada di mana-mana sebenarnya, di pintu masuk restoran, di pintu bas dan di tepi hotel di mana mereka tahu ramai pelancong. Janganlah hendak beri alasan hendak cepat naik bas hingga tak sempat hendak belek barang yang mereka jual, kerana mereka akan pastikan kami tengok dan beli barang itu dengan mengejar bas kami dengan motosikalnya sehingga di tempat perhentian seterusnya.

Suatu yang menarik di Vietnam, tandas awamnya bersih, baik yang di tepi jalan mahupun di restoran dan tempat pelancong seperti Cu Chi Tunnel. Malu jika mengenangkan kita tidak dapat menandingi mereka dalam hal memikat pelancong dari segi kebersihan tandas ini.

Dua hari seterusnya sebelum penerbangan balik pada pukul 7 malam, 4 Mei, kami melawat beberapa tempat menarik lagi dan beberapa kali ke Ben Than untuk berbelanja serta ke kedai sutera Hong Anh.

Tak cukup setakat itu, kami panggil Aziz datang ke hotel bawa telekong. Bayangkan penduduk Vietnam yang hanya segelintir Islam itu boleh mengeluarkan telekong sulam yang begitu cantik sekali dan murah harganya. Mereka juga boleh jahit baju kurung yang ditempah dalam sehari. Begitulah cara mereka memikat pelancong.

Mereka seolah memikirkan semua perkara untuk pelancong, sehinggakan baju hujan yang dijahit begitu kreatif dan berwarna warni, tersedia dijual bila hujan mencurah tiba, pada harga 30,000 Dong sahaja.

Perbezaan waktu ialah sejam lewat di sana berbanding Malaysia, menyebabkan teman sebilik saya sepanjang lawatan ini, Hazlinda, sering keliru. Selama dua pagi dia mengejutkan saya solat Subuh pada pukul 3.30 pagi waktu Vietnam kerana dia melihat jam tangannya yang menunjukkan 4.30 pagi waktu Malaysia.

Yang keliru dengan duit Dong ribu-ribu pun ada juga, maka sibuklah masing-masing mengira dengan kalkulator.

Disebabkan asyik shopping, ramai yang terlupa Air Asia menghadkan setakat 15 kg sahaja berat beg. Maka ramailah pula yang terlebih berat beg masing-masing dan terpaksalah beratur bayar cukai lebihan berat barang.

Apapun, dalam kegembiraan melawat tempat orang, ada keinsafan melihat kehidupan mereka dan sejarah yang mereka lalui. Rombongan Che Kiah sebenarnya mengeratkan lagi silaturahim sesama kami.

“Jauh berjalan, luas pandangan. Jelajah berkawan,, banyak kenangan.”.

Tuesday, July 28, 2009

Meninjau Galeri Batik Seri Endon




























Laporan oleh Rohana Mustafa, Setiausaha
(Gambar oleh Siti Nur Azhani Ab Razak)

Yayasan Budi Penyayang menjemput ahli jawatankuasa Benita untuk melawat Galeri Seri Endon dan menikmati jamuan hi-tea di Damansara pada 12 Jun 2009.

Terletak di tingkat bawah Epicure 1, Bukit Damansara, Galeri Seri Endon menawarkan pakaian batik, tekstil, dan fabrik hiasan untuk perabot, cendera mata korporat, kraf, bahan hiasan rumah, tempahan jahitan dan perkhidmatan rekaan dalaman batik.
Produk yang dipamerkan ialah hasil kreativiti eksklusif para pemenang pertandingan Piala Seri Endon, yang beberapa orang daripada mereka memang menjadi pelukis batik tetap galeri ini.
Saiz galeri ini comel sekali, maka 12 anggota Benita dan beberapa jemputan khas yang lain sudah cukup memenuhi ruang yang ada.
Tetapi di luarnya, pengurusan Galeri menyediakan rentangan kain kosong untuk kami lukis (atau conteng) menjadi corak batik yang kami warnai dengan warna kesukaan kami.
Sebelum itu, Datuk Leela Mohd Ali, CEO Yayasan Budi Penyayang menyambut kami dengan penuh mesra dan menunjukkan segala produk di dalam galeri sementara menunggu beberapa tetamu yang lain.
Rupanya beliau membuat kejutan untuk kami kerana seorang daripada tetamunya ialah angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha (yang kemudian menjadi rebutan ahli Benita untuk bergambar).
Beliau menyertai kami pada jamuan hi-tea di restoran berhampiran, Chef & Brew, yang menghidangkan kuih muih tempatan dan barat.
Datuk Leela dalam ucapannya berkata beliau berharap lebih ramai yang memberikan sokongan terhadap industri batik yang berpotensi tinggi di pasaran tempatan dan luar negara.
Katanya walaupun beliau bukan seorang pereka batik, tetapi beliau bangga dapat menyumbang melalui galeri ini untuk membantu bakat-bakat muda menghasilkan batik eksklusif dan kraf batik yang memang mendapat permintaan baik di pasaran.
"Kami membantu pereka batik untuk mempromosi dan menjual produk mereka di sini. Bagaimanapun kami sentiasa memelihara kualitinya kerana hanya yang terbaik akan dipamerkan di galeri ini,” katanya.
Galeri ini, yang menyambut ulang tahun keduanya pada 1 Ogos, dibuka hasil daripada beberapa perbincangan antara alumni Piala Seri Endon dan Yayasan Budi Penyayang awal tahun 2007. Ia dinamakan sempena nama allahyarham Tun Endon Mahmood, yang semasa hayatnya memang menggemari batik dan bersungguh-sungguh dalam usahanya mempromosi industri ini.
Galeri Seri Endon dicadangkan menjadi pusat batik yang menyediakan dan mempamerkan produk batik dan jenama terbaik batik di bawah satu bumbung.
Antara produk istimewa terbaru Galeri Seri Endon ialah tekstil batik yang dihasilkan dengan corak daripada bahan pewarna semula jadi (kulit kayu, daun dsb). Beberapa helai batik jenis ini sempat dibeli oleh tetamu yang berkunjung, termasuk Pengerusi Benita Puan Salbiah Said dan AJK sosial Norhayati Jantan.

Friday, July 24, 2009

Belajar Menghias “Cup Cake”



































Laporan oleh Rosyatimah Tukimin, AJK ICT/Pendidikan)
(Gambar oleh Rohima Tarmuji, Bendahari)

Seramai 18 ahli Benita telah menghadiri kelas menghias “cup cake” baru-baru ini, lantas memberi peluang kepada ahli-ahli menambahkan lagi ilmu serta kemahiran diri ketika bertugas di Bernama.
Kelas yang dipimpin oleh Puan Wan Suriani Wan Hassan ini memberi pendedahan kepada ahli mengenai “cup cake”, peralatan serta bahan-bahan yang diperlukan untuk menyerlahkan lagi hidangan kek seumpama ini yang menjadi kegemaran ramai masakini.
Sebelum ahli-ahli yang kelihatan begitu teruja memulakan sesi menghias kek, Wan Suriani telah memberi sedikit penerangan dan panduan agar kek tidak sahaja cantik dipandang malah enak dimakan.
“Penggunaan mentega yang sesuai penting untuk menghasilkan kek yang enak dan hiasannya cantik, yang tidak terlalu berminyak atau mudah cair,” kata Wan Suriani, yang juga Setiausaha Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong.
Memandangkan masa terhad kerana kelas diadakan pada waktu rehat makan tengah hari,, setiap peserta telah diberikan lima biji “cup cakes” tanpa hiasan yang telah disediakan sendiri oleh Wan Suriani. Segala peralatan serta bahan untuk menghias kek juga disediakan untuk digunakan secara berkongsi.
Setelah resepi aising diedarkan, Wan Suriani menunjukkan cara membuat aising tersebut. Selepas aising diwarnakan dengan bantuan beberapa peserta, Wan Suriani mula membimbing peserta teknik-teknik menghasilkan hiasan bunga, daun, rumput, nombor, huruf dan lain-lain ke atas kek dengan menggunakan pelbagai “nozzles” .
Peluang melahirkan kreativiti masing-masing diambil sepenuhnya oleh ahli, maka hasilnya kek bukan sahaja mempunyai hiasan bunga atau daun malah bagi mereka yang amat kreatif, hiasan kek mereka mempamerkan corak mini kebun bunga, padang bola dan banyak lagi.
Aktiviti anjuran Benita yang dilaksanakan pada 29hb Mei, 2009 di Tingkat 14, Wisma Bernama ini telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Aktiviti seumpama ini akan dianjurkan lagi di masa hadapan dengan hiasan menggunakan resepi aising lain pula.