Thursday, July 30, 2009

Sepanjang Jalan Kenangan Di Vietnam












Laporan oleh Rohana Mustaffa, Setiausaha

(Gambar oleh Norhayati Jantan, AJK Sosial)

“Rombongan Che Kiah” Benita melangkah ke luar negara sekali lagi selepas ke China tiga tahun lepas, Kali ini 15 orang berpakat melawat Vietnam.

Daripada 15 orang itu, hanya seorang kaum Adam, suami Nor Liza – Azman Mahmud, dan dialah yang menjadi bodyguard kami sepanjang empat hari di sana.

Anggota rombongan yang lain ialah saya, Norhayati, Nin Zairani, Nasriah, Zairina, Sartambal, Hamidah, Hazlinda dan beberapa rakan luar seperti Puan Zaini, Fatishah, Nasyrah, Rosnah dan Azian Dari Kuala Lumpur lagi mereka ini sudah kaya dengan duit Dong (RM1 =4,500 Dong atau AS$1=17,000 Dong).

Kami berlepas pada 1 Mei 2009 pukul 7.25 pagi bagi perjalanan yang tidak sampai 1 setengah jam, hinggakan Nor Liza tak sempat hendak order nasi lemak dalam pesawat, kerana isyarat hendak mendarat sudah diumum.

Masa hendak naik pesawat pun sudah ada yang buat lawak, ragu-ragu hendak naik tangga kapal terbang kerana kami hendak ke Ho Chi Minh City tetapi papan tanda ke lorong pesawat tertulis Saigon…eh betul ke ni??

Saat itu juga ada perasaan cuak dalam kalangan kami kerana ancaman H1N1 baru saja melanda dunia. Dua tiga orang daripada kami sudah bersedia membawa topeng mulut.

Sampai saja di lapangan terbang Tan Son Nhat, pemandu pelancong kami Mr Chin, sudah menunggu. Kami terus dibawa dengan bas ke sebuah muzium yang dinamakan War Remnants Museum atau War Crimes Museum.

Di situ segala jenis senjata dan kenderaan perang ditayangkan kepada pengunjung dan siapa yang lemah semangat, tidak akan sanggup melihat pelbagai gambar dan imej yang menunjukkan kesan keganasan perang, semasa perang Vietnam dan zaman Viet Cong,.terhadap kanak-kanak, kaum wanita dan lelaki, dalam keadaan yang amat mengerikan dan menyedihkan.

Untuk merasakan keadaan di dalam penjara dan penyeksaan yang dilalui tahanan perang dan orang awam, pengunjung boleh memasuki ruang penjara yang sempit dan menggerunkan yang dipenuhi dengan gambar dan keterangan bagaimana tahanan ini diseksa, tidak kira lelaki atau wanita.

Kami tidak boleh ke hotel lagi kerana waktu masih pagi maka destinasi kami seterusnya ialah ke bangunan Pejabat Pos Besar, sebuah struktur binaan lama yang indah dan unik, direka bentuk oleh arkitek yang sama membina Menara Eiffel. Begitu juga bangunan di kawasan sekitarnya seperti gereja Red Cathedral yang berusia beratus-ratus tahun dan Committee Hallnya.

Makan tengah hari kami ialah di sebuah restoran comel, Halal Saigon, milik rakyat Malaysia Dr Shimi. Di situ kami berkenalan dengan beliau dan pekerjanya seorang Islam bernama Aziz yang fasih dengan loghat Penang kerana sudah bertahun-tahun bekerja di Malaysia. Ada sebuah masjid bertentangan dengan restoran itu, memudahkan kami untuk solat Zohor.

Menurut Aziz, dia tinggal di sebuah kampung kecil Islam di pinggir bandar dan daripada kira-kira 8 juta penduduk Ho Chin Minh City atau Saigon, 6,000 ialah Islam.

Dua juta daripada penduduk di sini, menunggang motosikal dan banyak lorong khas yang luas disediakan untuk mereka. Menariknya ada motosikal dinaiki sehingga lima orang, dan mereka memakai topeng mulut pelbagai bentuk dan warna.

Setiap kali melintas jalan, kami mengikut pesanan Mr Chin “Don’t stop and don’t run” (jangan berhenti dan jangan lari di tengah jalan) kalau mahu mengelak daripada dilanggar motosikal) kerana mereka akan menghormati pejalan kaki jika kita berjalan di celah-celah laluan mereka.

Menurut Mr Chin jumlah kemalangan amat kecil di sini walaupun jalan raya bagaikan dibanjiri lautan motosikal – tidak menghairankan, kerana mereka memandu berhemah sekali, dan had laju kenderaan hanya 45km sejam.

Walaupun banyak motosikal, tetapi tidak ada pula yang merempit bila kami keluar berjalan pada hujung minggu. Kebanyakan muda mudi yang menaiki motosikal ini kami jumpa berdating dan berlibur di tepi pantai dan mereka memandu dengan kelajuan biasa.

Setibanya di hotel, selepas mandi dan berkemas, telefon bilik berdering, apa lagi tak sahlah kalau Che Kiah duduk melepak saja di bilik. Kami beramai-ramai ke pasar Ben Than yang tidak jauh dari hotel .

Di situlah duit Dong atau Dollar mula bertukar tangan kerana segala macam barang kraf Vietnam, tekstil, baju, seluar, dompet, kasut dan lain-lain dijual pada harga tawar-menawar.

Malamnya kami makan di dalam Cruise Boat yang menyusuri sungai dan memberi peluang kami menikmati udara malam Saigon.

Hari kedua selepas sarapan, kami menuju ke Barat Laut (75 km) dari bandaraya Saigon untuk melawat terowong popular – Cu Chi Tunnel – rangkaian terowong sepanjang lebih 200km dan sedalam 3 hingga 8 meter yang digali semasa zaman perang mereka.

Kawasan itu lengkap dengan suasana kampung di waktu perang – bunyi bom dan tembakan senjata, patung-patung askar berehat di bawah kanvas dan pokok, bengkel senjata, pelbagai jenis jerangkap samar, kesan kawasan yang dijatuhkan bom, busut tempat mereka yang bersembunyi di dalam terowong menyedut udara dan sebagainya.

Semasa merangkak di dalam terowong yang ruangnya cukup untuk meluluskan badan sahaja, timbul rasa keinsafan, bagaimana seksanya kehidupan di zaman itu, merangkak di dalam gelap tanpa mengetahui bila dapat keluar dari situ, bila dapat menyedut udara dan jauh sekali bila boleh menjamah makanan.

Kata orang, dalam susah kita lebih kreatif berfikir, begitulah keadaan duduk letaknya terowong ini, yang lengkap dengan ruang untuk tidur, tempat memasak secara bersembunyi dan mengelakkan asapnya daripada dikesan musuh serta ada tempat untuk menyimpan senjata.

Selepas penat mengembara, kami mencuci tangan dengan air yang disalurkan pada buluh dan menjamah ubi rebus yang dihidangkan dengan kacang tumbuk oleh kaum wanita di situ.

Petangnya kami ke bandar Vung Tau 125km di Barat Daya Saigon. Menurut Mr Chin, Vung Tau ialah bandar syarikat minyak negara Vietnam seperti Kertih dengan Petronas di Malaysia. Disebabkan itu boleh dilihat kemewahan hiasan bandar ini.

Sewaktu makan malam, kami dihidangkan makanan laut dan sayur-sayuran. Kami terlepas pandang sejenis makanan yang pada mulanya kami ingatkan tisu atau kertas nipis pelapik makanan, tetapi sebenarnya ia keropok beras pembalut sayur dan campuran lain untuk dimakan macam popia di Malaysia.

Penjual kraf Vietnam ini ada di mana-mana sebenarnya, di pintu masuk restoran, di pintu bas dan di tepi hotel di mana mereka tahu ramai pelancong. Janganlah hendak beri alasan hendak cepat naik bas hingga tak sempat hendak belek barang yang mereka jual, kerana mereka akan pastikan kami tengok dan beli barang itu dengan mengejar bas kami dengan motosikalnya sehingga di tempat perhentian seterusnya.

Suatu yang menarik di Vietnam, tandas awamnya bersih, baik yang di tepi jalan mahupun di restoran dan tempat pelancong seperti Cu Chi Tunnel. Malu jika mengenangkan kita tidak dapat menandingi mereka dalam hal memikat pelancong dari segi kebersihan tandas ini.

Dua hari seterusnya sebelum penerbangan balik pada pukul 7 malam, 4 Mei, kami melawat beberapa tempat menarik lagi dan beberapa kali ke Ben Than untuk berbelanja serta ke kedai sutera Hong Anh.

Tak cukup setakat itu, kami panggil Aziz datang ke hotel bawa telekong. Bayangkan penduduk Vietnam yang hanya segelintir Islam itu boleh mengeluarkan telekong sulam yang begitu cantik sekali dan murah harganya. Mereka juga boleh jahit baju kurung yang ditempah dalam sehari. Begitulah cara mereka memikat pelancong.

Mereka seolah memikirkan semua perkara untuk pelancong, sehinggakan baju hujan yang dijahit begitu kreatif dan berwarna warni, tersedia dijual bila hujan mencurah tiba, pada harga 30,000 Dong sahaja.

Perbezaan waktu ialah sejam lewat di sana berbanding Malaysia, menyebabkan teman sebilik saya sepanjang lawatan ini, Hazlinda, sering keliru. Selama dua pagi dia mengejutkan saya solat Subuh pada pukul 3.30 pagi waktu Vietnam kerana dia melihat jam tangannya yang menunjukkan 4.30 pagi waktu Malaysia.

Yang keliru dengan duit Dong ribu-ribu pun ada juga, maka sibuklah masing-masing mengira dengan kalkulator.

Disebabkan asyik shopping, ramai yang terlupa Air Asia menghadkan setakat 15 kg sahaja berat beg. Maka ramailah pula yang terlebih berat beg masing-masing dan terpaksalah beratur bayar cukai lebihan berat barang.

Apapun, dalam kegembiraan melawat tempat orang, ada keinsafan melihat kehidupan mereka dan sejarah yang mereka lalui. Rombongan Che Kiah sebenarnya mengeratkan lagi silaturahim sesama kami.

“Jauh berjalan, luas pandangan. Jelajah berkawan,, banyak kenangan.”.

1 comment:

  1. salam, bestnye trip..saye akan ke Ho chi minh gak..kat mane hotel best dan bajet ..ade tak contact number org sane yg boleh jd tourist guide..thanks

    ReplyDelete